Tengahari mama sediakan mee sup untuk Along dan Adik. Tapi Adik tak mahu mee. Dia nak roti dan sup saja. Mama ingatkan dia main-main saja. Tapi bila mama bagi mee sup padanya, dia tetap kata nak roti dan sup sahaja. Jadi mama ikut je lah kehendaknya tu. Rupa-rupanya dia cicah roti dengan sup. Mungkin dia ingat macam makan roti dengan kari. Hehehe adik... adik... nak tergelak juga dibuatnya
Adik dan Along sekarang ni suka sebut perkataan besar-besar. Kalau dia orang nak banyak, dia orang kata nak besar-besar. Pada mulanya mama dan papa tak faham apa kehendak sebenarnya dia orang ni. Lama kelamaan barulah faham yang dia orang ni nak banyak. Kalau kita betulkan perkataan dia orang, bukan diterimanya. Dia orang anggap yang dia orang jugalah yang betulnya. Tapi tak boleh dibiarkan saja, cuma kena betulkan perlahan-lahan. Macam dulu juga dia orang sebut semua benda yang lebih dari satu "dua-dua". Tapi sekarang ni dia orang dah faham. Bukan dua-dua tapi banyak.
Hari ini kami semua tak ke mana. Lepak je di rumah. Cuma pada sebelah petang saja mama dan adik keluar pergi beli roti untuk sarapan pagi esok. Along tak ikut sebab dia tidur. Semasa di kedai tadi Adik ternampak coklat anpaman. Apalagi terus diambil coklat kartun kegemarannya tu. Mama suruh dia ambil satu untuk Along dan satu untuk dia. Tapi dia kata Along tidur, jadi dua-dua dia yang punya.
Sebelah malam giliran papa untuk masak makan malam. Papa masak nasi goreng special untuk keluarga. Along punyalah rasa hairannya hingga terlopong tengok papa memasak. Mungkin ini kali pertama dia lihatnya. Kalau Adik tengok pun mesti dia rasa pelik sebab selama ni mama saja yang memasaknya. Adik ketika ini sedang nyenyak tidur. Dia tidur awal sebab dia tak tidur petang tadi.
Kisah adik dengan cermin.
"Mana gambar mama ..." sambil melihat cermin yang terdapat pada mainannya.
"Bawa mai sini mama nak tengok. Ni ada ni"...mama senyum pada adik sambil melihat reaksi adik yang seterusnya. Adik mengambil semula mainannya dari tangan mama sambil tersenyum kemudian berlalu pergi.
"Mananya... tak dak pun gambar mama ni" dengan muka yang tak puas hatinya... Mama tersenyum tengok gelagat adik dengan cerminnya. Manalah dia nak nampak gambar mama bila dia yang mengadap pada cermin tu. Tentulah yang ada hanyalah muka dia....
Mama dah bawa keluar futon, ingatkan Along dengan Adik dah nak tidur. Sekarang ni dah pukul 8.45 malam. Kalau dia orang nak tidur, dah bolehlah. Petang tadi mama tak bagi tidur takut berjaga malam ni. Aleh-aleh lepas minum susu dia orang ni bangun main pula. Si Along naik motornya. Adik pula bermain dengan blok dia.
Dua tiga kali pusing dengan motor dia, Along suruh pula mama tanggalkan baju dia. Pada awalnya mama tak nak dia buka bajunya sebab malam ni taklah panas sangat. Tambahan pula di luar masih lagi hujan renyai-renyai. Dia bagi alasan panas. Bila mama kata tak panas, dia kata pula gatal sambil buat-buat garu sana garu sini. Terpaksa mama buka juga baju dia.
Selepas buka baju Along, Adik pula datang suruh buka bajunya. Tapi Adik bukan kata buka baju. Sebaliknya dia kata pakai baju sambil tangannya angkat baju untuk dibuka. Terbalik pula Adik cakap. Lain yang dicakap lain sebenarnya maksud dia.
Adik suka memanjat tapi tak reti nak turun sendiri. Mulalah dia menjerit-jerit panggil mama atau papa untuk angkat dia turun. Kalau mama suruh dia turun sendiri, macam-macam alasan yang dia bagi. Nanti adik jatuhlah, adik takutlah dan banyak lagilah alasannya. Papa kata sampai bila adik nak macam ni, tak mahu belajar turun sendiri. Kalau jatuh tak risau sangat sebab sakit sikit je ataupun mungkin tak sakit langsung sebab lantainya tatami. Tapi dia tetap dengan alasannya, tak mahu juga belajar turun sendiri.
Ini gambar dia sedang menangis suruh angkat dia turun. Mama ambil gambar gelagat dia ni sebagai kenangan bila besar nanti. Dia perasan mama nak ambik gambar dia. Apa dia kata...."dah pukul gambar dah..." sambil menangis. Maksudnya tu, dia tak bagi mama ambil gambar dia. Yang dia mahu masa tu, angkat dia turun. Kalau tak pantang nampak mama nak ambik gambar, mulalah dia posingnya.

Sekarang ni mama sedang ajar Adik dan Along mendisiplinkan diri. Tidur mesti ikut waktu dan sebelum tidur perlu gosok gigi. Bermula dari Ahad lepas sehingga hari ini, dia orang masih dalam trainning. Pagi dia orang perlu bangun dalam pukul 8 pagi dan malam tidur dalam pukul 9 malam. Pada waktu siang, dia orang hanya boleh tidur sebelum pukul 2 petang. Kalau dah lepas pukul 3, dia orang dah tak boleh tidur. Kalau dia orang tidur waktu ini, alamak berjagalah malam nanti. Paling awal tidur pukul 1.00 pagi.
Waktu petang mama kena luang masa bersama dia orang untuk mengelakkan dia orang dari tidur petang. Kadang-kadang kesian pula tengok Adik atau Along, baru je nak terlena, mama angkat dia dan ajak main. Tapi mama perlu tegas dalam hal ini. Inilah masanya untuk membentuk anak-anak. Seperti kata pepatah, " Kalau nak melentur buluh biarlah dari rebungnya."...
Toilet training Along nampaknya dah sampai 95 peratus. Diaper hanya dipakai waktu dia tidur saja atau keluar jalan-jalan. Masa keluar terpaksa dia pakai sebab mama takut dia tak boleh nak tahan kencing kalau masa dia nak kencing tu tiada tandas yang berhampiran. Itu pun terpaksa paksa dia kencing dalam diaper. Ikutkan dia, dia memang tak mahunya.
Adik pula kalau nak buang air besar baru dia beritahu. Kalau nak kencing dia susah lagi nak beritahunya. So kalau nak buang air besar dia dah pandai buang kat toilet. Itu pun dua tiga kali ulang masuk toilet barulah keluar.
Along kena marah!.... Semasa mama sedang masak untuk tengahari, Along nak makan sotong goreng yang baru saja mama masak. Mama suruh dia ambil satu saja tapi dia bawa semuanya dan letak di depan tv. Sambil makan, sambil tengok tv. Kemudian dia biarkan saja pinggan yang ada sotong di depan tv dan pergi main sana, pergi main sini. Sehinggalah dia terlanggar pinggan sotong tadi. Cepat-cepat dia beritahu mama yang baru saja siap memasak. Mama marahlah dia sebab tak dengar apa yang mama kata. Mama suruh dia ambil satu tapi dia ambil kesemuanya.
Semasa mama marah tadi, dia tak menangis tapi dia pergi duduk sandar kat dinding sambil kepalanya tunduk ke bawah dan diam saja. Adik menunjukkan simpatinya pada Along, pergi menemani Along yang sedang menyandar di tepi dinding sambil tersengih-sengih.
Dalam sepuluh minit kemudian, semasa mama vakum tempat yang tumpah dah sambil mengemas rumah, Along ambil handphone mainannya. Lepas tu dia ambik gambar mama. Macam- macam posisi diambilnya. Kemudian dia tunjuklah gambar mama (konon-kononnyalah) yang dia ambil tu pada adik. Hehehe... pandailah Along nak ambil hati mama. Nak tergelak juga mama nengok gelagat Along tapi mama control tak nak gelak sebab nak tunjuk sikap mama yang tegaslah. Biar anak-anak berdisiplin.
Papa dapat berita gembira. Keputusan exam TOEIC (Test of English for International Communication) sudah sampai ke tangan papa hari ini. Papa dapat keputusan cemerlang. Tahniah papa!...
Papa perlu ambil exam ni kerana diwajibkan kepada semua pelajar yang ingin mengambil phd. Sekarang papa perlu tunggu bulan September nanti, untuk mengetahui papa layak meneruskan study papa. Semuanya bergantung kepada research yang papa buat sekarang.

Pagi tadi Along dan Adik pergi klinik gigi. Ini adalah kali pertama bagi dia orang buat pemeriksaan gigi. Semasa umur Along 2 tahun, dia dah sepatutnya buat pemeriksaan, tapi entah kenapa tahun lepas papa tak bawa Along ke klinik.Mungkin pada masa tu papa sibuk agaknya. Kami fikir Along dan Adik mungkin menangis sebab tak biasa. Namun andaian kami silap. Dia orang tak pun menangis. Pandai je doktor dan nurse melayan kanak-kanak.
Dua batang gigi depan Along dah teruk dan tak boleh nak buat apa-apa lagi. Tadi doktor hanya buat cleaning saja pada gigi Along. Gigi Adik masih elok lagi. Tadi doktor berus gigi adik, tapi hanya sempat bahagian bawah saja. Adik dah tak mahu lagi.
Ini gambar Along dan Adik semasa menunggu di klinik gigi tadi. klinik gigi ini dekat je dengan rumah kami. Tak sampai 5 minit berbasikal.Balik dari klinik, macam biasalah singgah di 100yen shop, beli mainan.

Seminggu dua ni Adik dan Along kurang selera makan. Nasi pun susah sangat nak makannya. Kalau mama suap nasi, semulut dua je yang dimakannya. Adik kadang-kala tak makan lansung. Hanya lauk saja yang di makan. Kadang-kadang tak lauk pun tak mahu makan. Hanya lobak merah dengan timun yang dimakannya. Mama masak nasi beriani, makanlah juga sikit. Masak mee kegemarannya pun tak nak dimakannya. Sepesen je Along dengan Adik ni.
Sarapan tadi mama buat kueh roti goreng. Untuk Along dan Adik mama letakkan krim dan coklat rice sebagai intinya. Kueh baru bagi Adik dan Along. Mama belum lagi membuatnya sebelum ini. Berseleralah dia orang makan. Along tunjuk kerajinannya dengan menyuapkan kueh ke mulut adik. Adik kalau mood baik, tak kesah Along nak suapkannya. Entah macam manalah tadi semasa Along suapkan kueh, Adik tergigit jari Along. Menangis tak terkiralah Along dibuatnya. Kasihan Along!...
Semalam seharian papa berada di Chuou University sebab ada Joint Seminar VLSI Group. Semasa seminar papa present research yang papa buat.

Adik sekarang dah pandai beri alasan jika dia tak mahu sesuatu barang dan dia nak barang yang lain. Walaupun barang sama yang dia nak, dia tetap kata barang itu orang lain punya kalau dia nak yang satu lagi. Dia suka makan aiskrim. Lepas tu nak suap sendiri. Tak mahu mama suapkan. Mentang-mentanglah aiskrim banyak dalam peti ais tu, makan sikit dah nak buka yang lain pula. Lepas tu memandailah bagi alasan aiskrim yang telah dia buka ni, yang papa punyalah, yang mama punyalah. Jadi dia nak buka yang lainlah sebab mama dah ajar dia yang orang punya tak boleh ambil.
Tadi dia minum susu. Ada dua botol susu dalam peti ais tu. Satu yang telah dibuka dan satu yang belum dibuka. Apabila mama suruh dia ambil yang telah dibuka, apa dia kata..."itu mama punya lah". Bila dia dah kata gitu, tak menang nye kita. Terpaksalah buka juga botol susu yang belum dibuka tu. Dia minum sikit je.. nak pula susu yang botol satu lagi tu... mulalah dia kata susu ni yang papa punya pula. Macam -macam Adik sekarang ni. Makin besar makin banyak kerenahnya.
Dua tiga hari ni mama buat ujian penglihatan dan pendengaran Along. Sebelum 22 Jun nanti Along perlu buat ujian ini dan juga pergi buat pemeriksaan gigi. Semua keputusan ini akan dibawa semasa hari madical check-up Along pada 22 Jun nanti. Untuk ujian penglihatan dan pendengaran, Along boleh lakukan dengan lancar. Untuk gigi pula terpaksa tunggu hari papa tak sibuk untuk bawa Along jumpa doktor gigi.
Semasa mama buat ujian untuk Along, si Adik apa lagi menyibuklah dia. Nak juga mama lakukan padanya. Apabila mama suruh angkat tangan bila bunyi tangan mama, dia angkat dan bila mama berhenti bunyikan tangan, dia terus je angkat tangan dia sambil tersenyum. Untuk ujian mata, apabila mama suruh dia tutup sebelah mata. Dia terus ikut arahan. Tapi bila mama tunjukkan gambar, dia intai pula melalui celah-celah jari dan sebut gambar yang mama tunjuk sambil tersenyum. Memandai je si adik ni.
Ini adalah gambar untuk ujian mata dan telinga Along.

Dah seminggu adik luka dikakinya. Sehingga hari ini masih belum sembuh sepenuhnya. Parut dah kelihatan kering, dia pula yang tarik-tariknya sehinggalah keluar darah semula. Hari ini mama letak semula plaster di tempat lukanya.
Si Along apa lagi, menyibuklah dia. Nak juga tanpal plaster. Habis dicarinya seluruh betis dan lengannya, sehinggalah dia terjumpa kesan parut lama dikakinya. Lepas tu pura-pura kata sakit sebab nak juga diletakkan plaster di kakinya. Itulah Along kalau dia nak sesuatu tu, memandai je cari alasannya.

Sepanjang minggu ni, hari ini baru mama bawa keluar Adik dan Along ke taman. Di sebabkan lama tak ke taman, lama pula Along dan Adik nak bermain kat situ hari ni. Apabila balik, macam biasalah mesti kena singgah di kedai beli robotnya. Sebelum masuk kedai katalah nak beli robot tapi bila sampai kat dalam lain pula yang dibelinya. Tadi Along beli pelekat pokemon dan Adik beli biskut ais krim.
